Hidup ini penuh dengan pelbagai kebarangkalian. Manusia punya banyak jalan yang boleh dipilih. Kadangkala, dengan hanya dipisahkan oleh satu simpang, itu cukup untuk membuatkan kehidupan menjadi terlalu berbeza dengan laluan-laluan yang lain. Dan jika aku tidak memilih jalan yang itu, kita mungkin tak akan bertemu, lalu membuatkan aku tercampak ke sini. Dia merenung langit malam yang penuh dengan bintang dari balik langsir tingkapnya. Fikirannya menerawang jauh entah ke mana. Sedang asyik merenung, satu cahaya melintas dihadapan mata. Dengan pantas dia menutup mata dan meletak tangan ke dada. membisik sesuatu. Jari jemarinya yang halus tersentuh cincin yang dijadikan loket rantainya. Digenggamnya erat cincin itu.
************
Dia membuka mata setelah beberapa ketika. Sudah menjadi tabiat untuk membisikan permohonan setiap kali dia melihat tahi bintang. Dia memandang langit luas. Malam yang tidak berbintang. Sunyi sepi. Hanya kedengaran suara unggas malam bersahutan sekali-sekala. Dia berbaring di atas rumput. Masih merenung langit. kosong. Jiwanya kosong. Fikirannya masih bercelaru mencari jawapan. Dia melepaskan keluhan. Cuma satu yang dia pasti, jika bukan kerana pertemuan itu, dia mungkin masih seperti dahulu. Setelah hampir sejam masa berlalu, matanya mula berat lantas bangun lalu membetulkan duduknya. Jaket hitamnya ditarik. Kakinya dirapatkan ke dada. Lututnya di peluk dan dagunya direhatkan di situ. Serasa angin malam bertiup lembut namun cukup untuk membuatkan dia kesejukan. Ah, hawa musim sejuk cukup untuk menggigit kulitnya hingga ke tulang-temulang. Setelah beberapa ketika, dia bangun lalu meninggalkan bukit itu. Bukit yang tidak mungkin dia lupakan sepanjang hayatnya.
No comments:
Post a Comment